Bahasa-bahasa Austronesia
Bahasa-bahasa Austronesia

Bahasa-bahasa Austronesia


Rumpun Bahasa Austronesia ialah sebuah keluarga bahasa yang tersebar meliputi gugusan kepulauan Asia Tenggara dan Lautan Pasifik. Beberapa anggota keluarga bahasa ini juga dituturkan di tanah besar Asia. Rumpun bahasa Austronesia tersebar luas dari Taiwan dan Hawaii di hujung utara hingga ke New Zealand di wilayah (Aotearoa) di hujung selatan dan dari Madagascar jauh di barat sampai ke Pulau Easter (Rapanui) di hujung timur.Sepertimana bahasa-bahasa Bantu, Indo-Eropah, Afro-Asiatik dan Uralik, Rumpun bahasa Austronesia merupakan salah satu keluarga bahasa tua yang telah dikenal pasti dengan lengkap. Nama Austronesia berasal daripada kata Latin auster "angin selatan" dan kata Greek nĂªsos "pulau". Nama ini sememangnya sesuai, kerana sebahagian besar bahasa Austronesia dituturkan di pulau-pulau yang terletak dalam, atau berhampiran dengan, Hemisfera Selatan: hanya beberapa bahasa, seperti bahasa Melayu dan bahasa-bahasa Cham, dituturkan di tanah besar Asia. Kebanyakan bahasa Austronesia mempunyai bilangan penutur yang kecil. Walau bagaimanapun, bahasa Austronesia utama memiliki jutaan penutur. Sesetengah bahasa Austronesia merupakan bahasa rasmi di beberapa buah negara. Otto Dempwolff, seorang sarjana Jerman, merupakan ahli bahasa pertama yang menyelidik bahasa-bahasa Austronesia dengan mendalam menggunakan kaedah perbandingan.Para ahli bahasa tidak sepakat tentang keluarga bahasa manakah yang mempunyai bahasa yang terbanyak. Walau bagaimanapun, rumpun bahasa Austronesia pastinya menduduki antara tangga teratas dengan 1,268 bahasa (menurut Ethnologue), yang bersamaan dengan lebih kurang satu perlima daripada jumlah keseluruhan bahasa yang diketahui di dunia.Rumpun bahasa Austronesia memiliki beberapa cabangan utama, dan kesemuanya kecuali satu diketemui di Taiwan. Bahasa-bahasa Formosa Taiwan dikategorikan kepada sembilan subkumpulan aras pertama ("first-order") bahasa Austronesia. Kesemua bahasa Austronesia yang dituturkan di luar Taiwan (termasuklah bahasa Yami) tergolong dalam cabang Melayu-Polinesia, yang kadangkala dikenali dengan nama bahasa Extra-Formosa.